khaiDesigns.com blogskin by khaiDesigns

Ruangan Borak

belum ada niat nak berinteraksi

Laman Lain

sengaja dikosongkan
sengaja dikosongkan
khaiDesigns

Coretan Terkini

  • besi yang keras pun mampu dicairkan
  • Keindahan Semulajadi Membuakkan Cinta
  • Love On Pills Beralih Pula Ke Terapi Filem Cinta
  • Keabadian Cinta
  • Cinta Si Buta
  • Hanya Perasaan Gubra
  • Si Pencinta Ini
  • Coretan Lepas


    Rekaan Laman

    Coretan-Coretan

    05 July, 2006

    besi yang keras pun mampu dicairkan

    Lama rasa tak aku jenguk ke laman coretan ini. Bukan apa, masa tidak mengizinkan dan laman lain lebih mudah dikendalikan. Aku lebih selesa dan pantas menyalur idea dan susunan kata-kata dalam bahasa kedua negara. Maka aku ke laman coretan lain milik aku untuk coretan harian yang berkepelbagaian tema dan isu perbincangan. Adakalanya coretan aku hanya sekadar catatan harian ala diari tetapi lebih bunganya.

    Aku sekarang sedang beristirehat di ruang tamu tempat kediaman aku sambil menunggu perlawanan separuh akhir pertama antara Jerman dan Itali. Buah hati aku bersama seorang rakan berpilihan seksual secara ketara sedang giat menonton "fashion file" jadi aku terus mengelamun lalu tergerak hati hendak membuat coretan lewat malam ini. Topik kali ini mungkin boleh dijangka jika diselidik latar belakang pilihan seksualiti aku.

    Cinta satu hala atau cinta sejenis atau homoseksualiti merupakan satu realiti yang dituduh sebagai pembawakan barat sedangkan asal kewujudannya sangat subjektif. Namun ia tidak menghalang pilihan yang dipilih ini. Jiwa dan hati manusia boleh dikawal tetapi apa pula kata takdr? Aku tidak ingin menghina agama mahupun golongan majoriti socio-hetero tetapi aku ingin coretan ini membawa ke arah perkongsian kegembiraan.

    Sama ada homoseksualiti dibentuk melalui pengaruh ataupun anasir secara tidak langsung, atau lahir sejak azali bukan titik kira suatu kebahagian. Bukan semua yang lurus akan gagal dibengkokkan dan bukan semua yang bengkok tiada harapan diluruskan semula. Sudah tentu dalam coretan aku ini, usul pertama diketengahkan - tidak semua lurus akan gagal dibengkokkan.

    Sedangkan besi pun boleh cair, inikan pula hati manusia. Apa yang penting adalah usaha. Usaha sahaja mungkin tidak berbaloi jika tiada tarikan dari awal. Aku sendiri sudah berjaya meleburkan banyak besi yang keras. Bukan aku ingin berbangga tetapi aku hanya menyarankan bahawa hati manusia ini boleh dipermainkan. Namun bukan itu yang aku suka lakukan. aku tidak pernah ada niat melukai sesiapa maka jika tarikan sudah ibarat angin menghembus, biarkanlah ia berlalu dengan tenang.

    Lain pula bila adanya tarikan dari awal. Pilihannya tetap terbuka. Terus menarik atau lepaskan sahaja tali yang tidak tentu kuat. Biasanya aku teruskan. Usaha tangga kejayaan tetapi jangan terlalu konfiden. Kadang-kadang lebih baik berkawan tanpa perasaan. Aku tidak percaya dengan pendaman perasaan. itu seolah menipu diri sendiri dan rasanya seperti tidak adil jika orang itu tidak tahu. Berkawan harus ikhlas dan begitu juga wajib dalam percintaan. Jika tiada jodoh (bak kata orang hetero), apa boleh buat. Sekurang-kurangnya cubalah pengakuan ikhlas. Insyaallah elok juga jadinya.

    Bagaimana agaknya nak meleburkan besi yang keras ini? Bagaimana pula dengan besi yang sudah terpateri pada besi yang lain? Memang susah. Aku buat gerak sulit tanpa pengetahuan pihak luar. Yang penting subjek aku diberitahu terlebih dahulu. Biar dunia luar tidak sedar keadaan sebenar dan memang itu cara yang terbaik. Jangan tergesa-gesa mengluahkan perasaan and mencorak masa depan dalam angan-angan. Optimis tetapi bukan mendesak. Cubaan bukan paksaan. Kenali hati si dia kerana dia ada rahsia penting. Rahsia tentang sesuatu amat penting iaitu apa yang mencairkan besi keras itu.

    Bila tah rahsia ini, jangan pula direka buat alat pencairan itu. Ia bukan jodoh lagi tetapi suatu penipuan pada diri dan si dia. Rahsia itu merupakan suatu yang harus kita hargai kerana ia dikongsi sebab wujudnya kepercayaan dari awal. Maka aku, aku nilai diri aku dan lihat jika ada sifat pencairan itu wujud dalam diri. Jika tiada aku mengalah tetapi berbalik pula pada tarikan. Tarikan yang wujud pada jiwa si dia mungkin boleh mengubah keadaan. Apa yang kita cari bagi menembus rahsia itu mungkin terlepas dari nilaian tetapi si dia boleh mendorong kesedaran apa yang benar-benar wujud. Apa yang tak nampak tiba-tiba ada. Rupanya besi sudah lama cair cuma adakah kita nampak?

    Jika ada perasaan atau tarikan luar jangkaan, jangan takut ingin menyelami. Tetapi jika jiwa tidak tenteram memikir baik dan buruk, berganjaklah tetapi ke belakang. Hanya mara ke depan jika berani ingin mencuba. Ia tidak betul dari pandangan masyarakat socio-hetero dan agama tetapi jika naluri, nafsu sudah bertemu takdir, fikirkanlah sejenak. Buat pilihan kerana itu hak asasi diri yang tuhan sendiri berikan. Pertimbangkan elok buruk dan pilihlah apa yang patut.

    Pesanan aku, jangan takut dengan apa yang kau rasa mustahil dan jangan berpaling pada sesuatu yang tidak diajar. Itu lah namanya mengalami pengalaman. Ingat besi yang keras dan terpateri pun boleh cair kembali. Dari situ, pembentukan baru akan bermula dan kegembiraan melihat sesuatu dibentuk memang tiada bandingan.

    Bola dah dekat nak mula. Jadi selamat mencuba!

    hasil coretan dijonaizze jones 3:01 AM 2 komen rujukan laman kepada coretan ini

    31 May, 2006

    Keindahan Semulajadi Membuakkan Cinta

    Sudah begitu lama aku berdiam tanpa kata-kata cuma muka laman sahaja yang berubah-rubah. Sebenarnya aku tidaklah berapa sukakan muka laman yang ada sekarang ini tapi cukup memadai tema yang ingin aku khutbahkah melalui coretan aku di sini. Tapi kamu orang perasan tak saiz mukataip agak kecil? Biarlah, pakai cermin mata kalau tak nampak atau tak payah baca langsung.


    Lama aku tidak menulis di sini bukan kerana aku menulis di tempat lain mahupun mencari ilham tetapi sebenarnya aku telah ghairah dengan keindahan pokok-pokok yang hijau, rumput yang berbau segar dan persekitaran yang sangat semulajadi termasuk kolam-kolam, pasir pantai lembut, lanskap air terjun dan sinaran matahari yang mencaskan. Aku tidak pergi ke mana-mana pulau, aku tidak pergi ke mana-mana hutan simpanan tetapi aku sedang naik hantu main golf. Mungkin bagi sesetengah orang, permainan golf ini membosankan dan mungkin tiada logik. Bagi aku, ia sesuai bagi mengurangkan tekanan kerjaya atau perniagaan selain kebaikan senaman yang dapat menyihatkan tubuh badan. Memang golf sukan yang agak mahal tetapi tidaklah semewah yang disangkakan. Siapa pun boleh main golf sekarang tetapi perlu ada wang yang secukupnya jika mahu lebih menghayati nikmat permainan ini. Kalau tak ada duit macam mana mahu bertaruh?? Jangan tak tahu hasil lumayan yang boleh dikaut! Tetapi kalau kalah, tersengat lah sikit. Walau apapun pendapat tentang golf, aku sejak kecil sudah bergiat dan makin dewasa makin seronok bermain. Cuba lah kalau mampu.

    Sebenarnya aku ada niat nak sambung episod Love On Pills yang betul tetapi aku rasa ia memerlukan masa yang panjang dan aku perlukan perhatian pembaca. Jadi buat masa ini, aku tangguhkah niat ini hingga ke masa yang lebih sesuai. Hari ini aku tidak mahu berceloteh panjang. Terlalu banyak urusan kerja yang perlu aku selesaikan. Mungkin lain kali aku boleh berleter dengan lebih lanjut. Ingat, cintai apa yang mampu mencintai kamu kembali.

    ~pecinta~

    hasil coretan dijonaizze jones 3:13 PM 0 komen rujukan laman kepada coretan ini

    09 May, 2006

    Love On Pills Beralih Pula Ke Terapi Filem Cinta

    Sebenarnya aku kurang senang hendak menajukkan coretan kali ini dalam bahasa yang penuh kelembutan ini. Aku terasa janggal dengan translasi tajuk ini iaitu 'cinta atas pil'. Bunyinya sudah sama macam filem-filem terbitan Julie Dahlan contohnya, "Kad Cinta", "Harry Boy" dan lagi yang tiada kaitan langsung. Aku juga tidak ingin mencuri sinar estetik Yusof Haslam dengan nada cinta luka kontroversi artis popular. Maka aku telah mengambil keputusan berbahasa dua tapi hanya pada tajuk.

    Aku mohon maaf terlebih dahulu jika ada yang sudah mula terasa walaupun baru membaca tajuk. Bagus lah kalau terasa sebab itu tujuan aku sebenarnya. Maklumlah, cinta bukan satu perkara yang mudah seperti karektor Ali dalam "Ali Setan". Dia tidak pernah jatuh cinta tapi bila sudah jatuh hati pada 'Asmidar' iaitu karektor heroin dalam filem tersebut, bahasa cintanya amat berbunga dan perasaannya sangat nyata. Dia hanyut dibuai gelora cinta dengan 'Asmidar' sehingga boleh mengubah tabiat kesetanannya. Ini merupakan representasi seorang "playboy" dalam filem yang sudah tersungkur akibat mabuk cinta. Orang bercinta diibaratkan seperti penagih kasih sayang dan "playboy" merupakan penjenayah besar dunia cinta. Bukan sekadar menagih, dia juga mengagih cinta mainannya kepada dara-dara pinggitan yang teruja dengar laungan "SATAYY!!" nya sahaja. Hebat sungguh karektor si Ali ini dan ia memang sebuah filem kemusnahan sosial remaja pada ketika itu yang berselindung di sebalik tema cinta universiti. Perlukah aku berdakwah hal keagungan filem era 80-an? Bukankah ini cukup jelas? Mesej-mesej yang tersirat dan motif filem berjaya sampai tanpa kontroversi kepada peminat dunia filem tanahair. Ini cukup mengagumkan. Kembalikanlah keajaiban ini!

    Renung sejenak, betapa hebatnya cinta seperti yang di adaptasikan dalam filem-filem era 80-an. Tiada perlu skandal kiri kanan, tidak perlu ada gengster pukul-memukul dan melanggar kotak-kotak yang disusun rapi, tidak perlu penyanyi realiti tv yang minat berlakon untuk terus mengeksploitasikan dirinya sendiri demi wang ringgit walaupun tiada bakat dan mempunyai fesyen rambut botak manja yang sudah lama kelihatan di sekitar Uitm Shah Alam, tidak perlu tamak tema dan isu perbualan dan yang paling penting tidak perlu ada debat perdana di RTM. Cukup dengan tema dan skrip-skrip yang cukup puitis dan romantis bila perlu. Tegas pabila sesuai pada adegannya dan sopan sambil memelihara kecantikan bahasa dalam filem. Tidak perlu lawak bualan di Lorong Haji Taib 1,2,3,4 dan 5 dan tidak terlalu mengelirukan dari segi jantina. Ok yang terakhir tu mungkin aku tambah mengikut emosi tak sepadan tajuk. Tapi apa boleh buat, aku tidak gemar menyunting.

    Cerita cinta merupakan satu "genre" yang amat aku minati biar dalam apa bahasa sekalipun dan era mana juga. Tetapi aku agak memilih apa yang hendak ditonton supaya aku tidak terlalu kecewa. Kekecewaan merupakan satu tragedi yang tidak dapat diterima oleh mana-mana kaum pencinta di dunia tetapi jika itu lah lumrahnya, aku redha. Tidak perlulah aku sambung panjang-panjang pasal jiwa aku pulak tetapi sebenarnya jiwa seorang pencinta dapat juga dilihat secara zahirnya melalui filem yang digemari atau muzik yang didengari. Ini tidak seratus peratus benar tapi hampir sahaja.

    Apa yang menarik filem cinta? Bagi aku cerita cinta merupakan sesuatu yang boleh aku simpulkan sebagai "guilty pleasures". Aku tidak dapat hendak mentranslasikan maksud "guilty pleasures" sebab aku pun tidak berani nak membuta-tuli membuat sarikata. Jadi biar aku jelaskan. Aku dulu penagih ganja paling setia di daerah kajang sehingga aku lepaskan peluang bercinta demi keasyikan dunia khayalan buatan ganja. Aku melepaskan peluang belajar secara percuma tajaan kerajaan kerana ghairah dengan belaian ganja. Setelah dua tahun aku hanyut dibuai cinta ganja, aku tersentak dengan keputusan peperiksaan akhir tahun kedua. Aku tidak lagi mahu menipu diri lalu melangkah kaki mencari tempat berlindung. Terlalu banyak yang telah aku korbankan untuk menikmati kemanisan di bibir tatkala dicium balutan ganja. Semua itu aku tinggalkan untuk mencari masa depan.

    Memandang hidup bukan seperti dalam filem, aku tidak bertemu masa depan yang cemerlang dalam sekelip mata. Ganja tetap menemani hidup aku sehingga suatu hari, aku dikejutkan dengan panggilan telefon...

    Kakak: Aku rasa hang jangan balik rumah hari ni.

    Aku: Kenapa? Apa dah jadi?

    Kakak: Mama found your stash.

    Aku: What?? what stash?? (ini kerana aku tidak ingat tentangnya setelah 3 hari tidak menyedut keajaiban ganja)

    Kakak: She did, she found it. Dia tunjuk kat kitorang semua and she's very upset right now.

    Aku: Tapi mana ada aku simpan kat rumah?

    Kakak: Ada and i really think you shouldn't come home. Mama is really emotional right now. Just lay low.

    Aku: Shit! Baba macam mana?

    Kakak: Entah.. Dia diam aje.

    Aku: Shit but i've got to come home.

    Kakak: Just let Mama calm down then come home. I'll let you know.

    *Kakak aku letak telefon.

    Mulai pada hari itu, setelah bersua muka dengan ibu aku yang amat mengambil berat hal aku, aku terasa seperti anak haram. Aku telah tertangkap secara terang dan aku sudah mula dewasa untuk menafikan perkara itu. Aku telah memberitahu segalanya dan aku terima akibatnya dengan terbuka. Pada masa itu aku sudah pun kononnya memulakan kehidupan baru di sebuah kolej swasta murahan dalam bidang pengiklanan dan membenci beberapa orang di sana secara am. Aku seorang melayu di kolej berleluasa kaum bukan melayu. Aku tidak bersikap perkauman terhadap sesiapa di sana kerana aku masih bercinta dengan si ganja tetapi setelah peristiwa hitam tak hitam itu, aku banyak mendapat sokongan kawan sekolej bukan melayu yang membantu aku meninggalkan cinta fana itu. Dalam pada itu, aku mula jatuh hati kepada seorang rakan yang sangat mengambil berat tentang perubahan aku. Paras rupa bukan ukuran dan itu bererti aku sudah dilamun cinta yang tidak bertepuk sebelah tangan.

    Namun sikap aku yang perlukan dampingan lamunan khayalan yang lebih berkuasa, aku sering terperangkap dalam dunia lama yang pernah meragut jiwa dan raga aku. Sekali tersilap langkah aku sesal tiada sudah. Tapi setelah menyedari keanakharamanku, aku telah bergelumang dengan kekasih-kekasih lama. Si ganja dan si dia turut ku tiduri dan akhirnya, percintaan yang realiti terus musnah sedikit demi sedikit. Aku sudah tidak tentu arah dan cuba mencari jalan keluar kerana ingin membuktikan kepada cinta bukan melayu aku yang aku boleh setia dan dipercayai. Memang aku tak tahu apa yang perkatakan pada masa itu tapi aku tahu memang kalau dan setan, setia setan. Tetapi demi cinta, aku mencari terapi paling berkesan. Aku perlu belajar bercinta dengan baik. Malangnya tidak ada kelas malam untuk itu sebab katil lebih memanggil dan apa lagi bila lampu bilik dimalapkan untuk suasana romantik. Cuma pada masa itu, lampu romantik kuanggap waktu untuk mencapai kemuncak dan sekadar itu sahaja. Aku fikir satu pasangan sudah bererti aku setia. I memang tak ada idea masa tu.

    Lama kelamaan aku memerlukan cara baru untuk mengatasi masalah komitmen yang ketara sangat. Jadi aku iktiarkan satu jenis terapi yang aku rasa penuh dengan metodologi bercinta. Aku mula tonton filem tema cinta dan romantik yang harus lawak. Jenaka penting kerana tekanan ketika terapi filem sebegini amat membebankan jiwa seorang 'pemain' bukan 'pencinta'. Filem-filem yang aku tonton itu memang boleh meresap ke hati bila masa aku secara serius menghayati konsep-konsep percintaan yang diterampilkan. Aku mula menerapkan konsep-konsep itu dalam kehidupan seharian dan akhirnya, percintaan aku berakhir. Dia telah memutuskan hubungan dengan aku kerana apa aku masih tidak yakin. Tetapi aku tahu dia amat menyintai aku cuma cara aku tidak sesuai dengannya.

    Masa yang aku ambil untuk melepaskan dia dari fikiran dan hidup aku memang terlalu lama hingga bertahun-tahun. Hidup aku serba keseorangan bersilih ganti pasangan sekadar memuaskan nafsu serupa kerbau sawah. Aku terjebak lebih jauh ke dalam lautan alkohol dan si ganja tetap peneman setia di kala aku sunyi. Baiknya pada masa yang sama, aku teruskan terapi filem cinta dengan harapan satu pancing ku akan terlekat. Lama betul aku tunggu sebenarnya sampai duit simpanan pun melimpah ruah. Peringatan: Jika ada hubungan yang komited, duit dalam bank tidak akan diabaikan malah digunakan sepenuhnya. Tapi tak mengapa jika semua demi cinta. Tak percaya tengok lah filem Bollywood, miskin pape kedana pun masih boleh hidup sebab cinta. Mana ada karakter hero atau heroin yang bekerja betul tak? Miskin kaya mereka hidup bahagia atas nama cinta. Apa-apa pun tidak mustahil di India. Moh pindah India ramai-ramai.

    Dalam kesibukan kerja seharian, aku tidak lupa menjenguk kail yang aku sudah lama pasang. Bila ada mata kail rosak, aku ganti baru. Tapi yang satu ni, sekitar awal tahun 2005 aku telah pasang kail tepi tasik Mines Resort City. Aku cuba-cuba sahaja nasib di sebelah sana. Berbulan aku mengail, ikannya asyik mempermainkan aku. Sekejap dapat, sekejap terlepas kail. Memang amat mencabar tetapi aku terus cuba lebih ekstrem. Aku pergi memancing laut dalam dengan beraninya. Rupanya ikan ini dikawal rapi jerung-jerung usia 30-an. Aku ni masih budak lagi. 21 seumur hidup! Jadi aku terpaksa menggandakan usaha. Aku pancing atas darat pula guna sms dan msn messenger. Cara ini lebih tertutup tapi itu lah susahnya, asyik tertutup sahaja. Aku tidak putus asa dan terus mencari pelbagai akal baru. Apa aku buat? Aku tonton filem cinta lah!

    Kebetulan ikan yang aku ingin pancing ini seorang penggemar filem pelbagai 'genre' dan menghabiskan banyak masa menonton. Jadi aku mengambil peluang bertukar pendapat tentang filem dan mengaitkannya dengan hidup macam cerita "High Fidelity" yang bertukar pendapat tentang muzik dan kaitannya dengan hidup karakter utamanya. Dia seorang yang bijak dan mendalami banyak perkara yang aku cuma tahu permukaannya. Dia membuat aku terfikir dan mahu lebih berfikir. Aku mula menelaah hal-hal yang tidak pernah aku pedulikan selama ini sehingga si ganja cemburu dengan kehadiran teman baru yang banyak memakan masa aku. Berkat usaha aku terbalas dan akhirnya aku tahu bercinta. Macam senang saja bunyinya walhal telah banyak dugaan yang aku lalui untuk dapatkan ikan eksotik ini.

    Percintaan ini telah membuatkan aku lebih fokus dan dinamik dalam hidup. Alkohol telah mengalir ke dalam longkang dan ganja hilang lesap lebur entah di mana. Yang tinggal hanya "bong" buluh yang aku beli masa berhujung minggu di Perth dahulu. Aku tidak nafikan yang aku masih menyimpan kenangan manis bersama si ganja, alkohol, si dia dan dia dan dia kerana itu adalah sejarah hidup yang boleh dijadikan rujukan masa depan. Kenangan pahit aku simpan jugak untuk suka-suka cari pasal. Ia dapat mewarna kehidupan yang malap sebab tak tukar "bulb" lampu di kamar tidur. Apa yang aku cuba katakan dalam coretan yang melalut-lalut ni sebenarnya sudah lari dari topik asal maka aku hendak ubah topik tanpa menyunting. Aku memang berniat nak tulis lebih panjang tapi aku belum lagi teringin nak terbitkan buku atas talian. Kisah ini akan bersambung dengan mengembalikkan topik asal.

    ~cinta~

    hasil coretan dijonaizze jones 4:07 PM 0 komen rujukan laman kepada coretan ini

    05 May, 2006

    Keabadian Cinta

    Berhenti jika anda sedang mengharapkan lirik lagu Anuar "suara berketar" Zain kerana tidak mungkin aku sebegitu fanatik. Sebenarnya aku rasa Anuar Zain memang unik jika tiada penyanyi lain yang lebih unik. Bagi aku tiada perbezaan yang terlalu ketara di antara artis tempatan dan antarabangsa melainkan bahasa penyampaian dan mungkin kualiti rakaman. Kos sentiasa menjadi isu di Malaysia maka dengan itu, aku tidak mempersalahkan dunia hiburan Malaysia. Aku menyokong sikap sesetengah artis yang memberi lebih fokus terhadap pasaran dalam negara. Nak kata 'jaguh kampung' pun boleh, samalah macam Britney Spears, Beyonce, Jay-Z, Oasis, Placebo dan Pharell Williams. Sebab itu adanya konsep realiti tv "idol". Orang Amerika cari "American Idol" dan Malaysia cari idola Malaysia.

    Cara kita lain tetapi muzik itu sama sebenarnya. Jika cari idola, biarlah yang lebih baik dari kita dan bukan jauh berbeza. Idola harus dinilai lebih dari mutu nyanyian. Seharusnya personaliti yang menjadi ukuran dan sama ada ia disukai masyarakat dalam negara yang harus diambil kira. Inilah bezanya ingin jadi idola dengan ingin kaut keuntungan semata-mata. Bukan sikap sesetengah artis Malaysia ini memberi kesimpulan bahawa mereka tidak berpandangan global tetapi ia merupakan tindakan yang cerdik dan tertumpu. Kalau dalam negara pun tak berjaya, apa fikir global? Mengapa kita terkial-kial mencari album penyanyi barat walaupun mereka tak pernah datang ke sini untuk mempromosi album? Sebab lagu mereka merdu didengar? atau bahasa Inggeris lebih membuatkan anda nampak "cool" kerana memahaminya? atau semata-mata nak lebih "cool" walaupun tak faham apa yang dinyanyikan? atau sebab mereka berfesyen "cool" dengan gaya rambut "cool" dan slanga "cool"? Jawab sendiri soalan itu sebab ini bukan topik hari ni.

    Topik hari ini berkisar kisah kehidupan pasangan bercinta yang rumahtangga mereka dilanda ombak kecurangan. Pagi tadi pasangan sejenis aku tidak menggerakkan aku bangun seawal dirinya kerana kesian melihat aku tidur begitu nyenyak hingga meleleh air liur ke bantal. Maka aku terlewat bangun dan terlambat bersiap untuk pergi kerja. Setiap pukul 9 pagi hari bekerja selepas rancangan tv "Malcolm In The Middle", rancangan penting kaum wanita yang boleh berbahasa Inggeris juga yang reti membaca sarikata dan juga sesetangah jenis lelaki iaitu "Oprah" akan keudara. Dalam tengah aku bersiap untuk pergi kerja, rancangan itu telah bermula dan aku pun turut menonton kerana aku minat mendengar hal-hal orang lain yang tidak aku kenali. Orang yang aku kenal, aku tak ingin sangat nak tahu sebab sememangnya membosankan.

    Hari ni Oprah mengundang beberapa pasangan yang telah berkahwin tetapi si suami semua telah berlaku curang kepada isteri. Aku tidak dapat menonton sehingga ke akhir rancangan kerana pasangan sejenis aku telah menelefon dan bertanya sudahkah aku siap untuk pergi kerja? Aku rasa bersalah jadi aku tidak mengikuti sehingga ke akhir rancangan. Aku cuma sempat mengekori kisah dua rumahtangga yang bergelora hanya untuk seketika dan kembali tenang selepas si suami berjanji tidak akan mendua atau mentigakan mereka lagi. Aku terfikir, mithali sungguh isteri-isteri mereka ini.

    Inilah yang dipanggil keabadian cinta. Si isteri-isteri yang ditemubual mengaku bahawa perpisahan berlandaskan kemarahan dan emosi sahaja mungkin bukan keputusan yang tepat dan terbaik. Kenangan manis biasanya dapat mengatasi sebarang kedukaan dalam hubungan yang besar kemungkinannya adalah abadi. Si suami-suami pula hanya mengangguk mengaku kesalahan yang mereka lakukan sambil membuat muka termalu besar setelah di 'kantoi'. Program hari ini mengingatkan aku kepada rancangan Jerry Springer yang jauh lebih kelakar dari mana-mana rancangan tv yang bercorak komedi. Pasti ada karakter yang diperbodohkan pada awal secara maksima dan akhirnya kesemua karakter terlibat akan dilihat sebagai pelakon slapstik terbaik Amerika. Begitulah hakikatnya episod Oprah pagi tadi. Rancangan itu seolah-olah ingin menunjukkan kelemahan lelaki secara drastik. Entah berapa bayaran yang mereka terima untuk sanggup memalukan diri mereka di depan berjuta penonton rancangan Oprah. Mungkin itu lah kelemahan lelaki? Atau itu menunjukkan keabadian cinta yang tertinggi bagi pasangan Amerika?

    Keikhlasan dalam rumahtangga adalah sesuatu yang kian menghilang dalam situasi sebenar. Banyak sudah berlaku kes berkahwin atas sebab hendak berzuriat, hendak menghalalkan nafsu terlampau, keluarga memaksa, kasihan kepada pasangan kerana sudah lama bersama, tak boleh hidup tanpa pasangan walaupun tidak secocok dan tekanan daripada pelbagai pihak yang tidak tahu mereka sebenarnya homoseksual. Ada yang berakhir dengan perceraian, ada yang melalui kecurangan, ada yang dimadukan dan ada juga yang mencapai kebahagiaan. Jodoh lah katakan. Bab percaya pada jodoh atau tidak, aku tidak mahu diskusi. Itu adalah kuasa pilihan sendiri.

    Tetapi apakah sebenarnya sebab berlakunya penceraian, kecurangan dan kesanggupan dimadukan? Adakah ini melibatkan kaum lelaki sahaja sebagai pemangsa dan wanita semata-mata mangsa? Mungkinkah wanita mengambil kesempatan untuk menjadi mangsa keadaan? Apa maksudnya itu?

    Aku ingin terus memberi pendapat aku tentang isu ini. Seorang ahli keluarga aku sendiri sedang mengalami keretakan rumahtangga cuma aku skeptikal tentang perkara yang berlaku. Mungkin bab ini terlalu peribadi buat masa ini. Namun persoalannya nyata pada masa ini iaitu mengapakah ia berlaku jika ungkapan cinta yang dilafaskan dahulu sangat teguh walau kereta kebal sekalipun tidak dapat merempuh tiang-tiang keluhuran yang telah dibina. Apa dah jadi?

    Berbalik kepada siri Oprah tadi, pasangan yang dilanda masalah curang pihak suami dapat terus bersatu kerana wanita itu dapat menerima kesalahan dan rela mengampun si lelaki. Kata mereka, terlalu banyak memori indah yang tidak dapat dilepaskan dan cinta mereka lebih dalam daripada itu. Walau apapun terjadi, cinta itu akan kekal abadi. Aku setuju tetapi aku lebih suka membiarkan cinta itu kekal abadi di hati dan teruskan kehidupan yang serba baru. Mengapa harus selamatkan hubungan rumahtangga itu jika si pencurang tidak langsung memikirkan keselamatan itu sebelum berlaku curang?

    Relaks, aku bukan pembenci lelaki walaupun mengamalkan kehidupan sebagai pencinta kaum sejenis. Feminis lain dan lesbian lain. Mereka boleh wujud dalam satu prinsip tetapi tidak kesemuanya sebegitu naif. Aku menghargai cinta walau apa bentuk sekalipun hadirnya ia. Hubungan yang aku amalkan ini tidak mungkin berkesudahan dengan perkahwinan. Ada juga segelintir yang percaya perkahwinan sejenis tetapi aku masih waras dan juga tidak menolak cinta jenis ini. Biar apa pun hukumnya, aku tidak mampu memperdagangkan keikhlasan di jiwa aku. Jika jadinya baik, kesudahannya juga baik seperti mana yang aku lalui sekarang.

    Cuma sekarang aku bercakap merujuk kepada siri Oprah di mana pemangsanya adalah lelaki. Yang curang adalah si suami dan kehadiran pasangan-pasangan ini dalam rancangan tersebut menegaskan bahawa kedua-dua kaum itu lemah sehingga perlu perhatian orang ramai. Atau mungkin aku naif sedikit kerana dollar Amerika itu besar nilainya. Apapun jadinya, aku kurang respek kepada si isteri yang sanggup dijadikan mangsa keadaan dengan memberi peluang kedua kepada si suami. Maaf-bermaafan memang bagus tetapi jika kecurangan itu sudah sampai tahap persetubuhan, sanggupkah lagi tidur sekatil? Sebenarnya kalau aku dalam situasi si lelaki, aku pun mahu dimaafkan tapi aku tak jamin perangai aku akan berubah seklip mata. Atau jika aku seorang isteri yang perlukan kehadiran suami aku, aku mungkin pendamkan perasaan terguris supaya dia kekal bersama aku. Ye lah nak "cover" malu dengan kawan dan keluarga.

    Dalam situasi sebenar pula, aku rasa rancangan tadi telah mempersendakan konsep keabadian cinta. Ia merupakan drama tv bercorak realiti yang menghina kedua-dua kaum demi keuntungan besar stesen tv berkenaan. Inikah idola kita? Inikah yang kita kejar di mata dunia? Memang program tadi tiada kaitan orang negara ini tetapi lihatlah betapa haru-biru orang mereka sehingga sanggup pergadaikan maruah untuk masuk tv dan dikenali ramai. Biar buruk cara pun tidak mengapa asalkan popular masuk tv. Jadi tak perlulah artis Malaysia nak kejar kekayaan di luar dengan cara terburu-buru. Usahakan di dalam negara ini dulu dan jadilah idola yang dicari-cari dan bukan direka-reka. Apa kaitan dengan keabadian cinta?

    Cinta yang abadi itu lahir dalam diri orang yang ingin bercinta walau dengan siapa atau apa sekali pun. Fikirkan lah itu sendiri sebab aku sudah penat membuat coretan sebegini buat hari ini. Aku nak mengundur diri untuk berehat sepanjang hujung minggu ini. Insyaallah aku cuba mendapat ilham topik yang lebih menarik sebab yang ini terlalu tak berketentuan emosi. Aku rasa macam pengarah gubra pulak. Tak apalah, selamat berhujung minggu.

    ~cinta~


    hasil coretan dijonaizze jones 11:47 AM 0 komen rujukan laman kepada coretan ini

    02 May, 2006

    Cinta Si Buta

    Harap tiada sesiapa yang mengharapkan kisah cinta orang kurang daya penglihatan buat kali ini atau bila-bila masa pun. Konsep bualan "cinta buta" adalah lebih menepati kandungan coretan kali ini. Tetapi jangan pula ada yang berdoa tujuh kali sehari untuk membaca kisah cinta remaja kurang daya pemikiran yang bercinta dan akhirnya merana sebab terburu-buru memilih teman sekatil. Oh tidak, anda boleh cari pengarah gubra untuk cerita sedemikian atau lebih baik, cari penerbit gerak khas, sembilu dan maria mariana.

    Sesungguhnya aku menulis di atas dasar cinta, aku tidak bersembunyi di sebalik satu elemen sahaja. Cinta bagi aku amat besar nilainya dan telahpun aku tekankan ketiadaan definisi universal untuknya. Kali ini aku ingin menuding jari ke arah pencinta-pencinta satu kepala dan memberikan perhargaan kepada cinta mereka. Seharusnya, kepala ketua lah yang patut mengucapkan perhargaan ini kerana adanya golongon pencinta setia mereka yang tidak kenal erti lain selain yang diperkatakan, dipersembahkan dan dicap sah oleh kepala ketua. Apa erti semuanya ini? (ini merupakan skrip wajib cerita-cerita rekaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ketika munculnya babak-babak cemas - sungguh respek!)

    Sabar sebelum panik walaupun itu tidak mungkin berlaku. Panik dahulu dan kalau ada iman, insyaallah dapatlah pedoman untuk bersabar dan meniliti. Aku bukan ulama' maupun ustazah dan jauh sekali pakar ugama. Tetapi ilmu pengetahuan tentangnya aku tidak menolak cuma aku tidak sah untuk memberi khutbah agama panjang-panjang. Pendek pun tak patut. Bagusnya, coretan ini bukan isu agama yang terang tetapi lebih menekankan keistimewaan cinta si pencinta kepala dengan ketua kepala. Sungguh indah bunyinya bagaikan tiupan angin sepoi bahasa di tepi pantai pasir putih yang lembut.

    Harapnya belum ada yang terkeliru melainkan pemahaman bahasa yang diiktirafkan sebagai bahasa kebangsaan ini merupakan subjek lemah ketika di sekolah dulu. Aku mohon maaf di atas penggunaan bahasa secara kurang mahir ini lantas tidak memberi kesenangan kepada pembaca yang tidak memahami bahasa ini dengan cekap. Ya lah, kalau semuanya senang, kita pun boleh buat filem melayu berkualiti macam pengarah gubra, betul kan? Sudah pasti obsesi kita dengan pengiktirafan Hollywood akan berakhir, betul tak? Usah gentar wahai pembikin filem tanahair. Setiap seorang daripada anda pasti sudah ada pencintanya. Punyalah cinta sehingga ada yang baru nak menonton filem tempatan sambil membuat komen bahawa filem melayu kini telah naik taraf dan berkualiti antarabangsa dengan adanya filem seperti yang dihasilkan oleh seorang pengarah tak berketentuan jantina itu. Wah! itu memang satu percintaan yang amat suci namanya. Buat sahaja apapun, golongan pencintamu pasti menyokong. Inilah baru cinta sejati.

    Agak susah bagi pencinta-pencinta sebegini untuk memiliki nilai individualiti yang tinggi tetapi aku hormati mereka yang menerima keadaan seakan itu sambil mengangguk. Cinta mereka amat kuat sehingga melaungkan kemegahan Malaysia yang harmoni. Kehidupan Malaysia yang sungguh harmoni ditonjolkan bak kata pencinta-pencinta ini dalam filem kritikal tempatan 2006 yang mula ditayangkan baru-baru ini dengan kelulusan cemerlang oleh FINAS. Mungkin juga FINAS sudah ada pengganti orang-orang tua yang kolot dan terus lagi mengadakan sesi pengambilan pelapis melalui sms.

    Keharmonian dapat dirasai dengan wujudnya komen-komen seperti, "sekarang filem tempatan sudah ada kualiti", "filem yang berani seperti ini setaraf dunia luar"dan "filem seperti ini lah yang boleh

    membawa penonton ke pawagam". Sebab apa harmoni? Sebab pelakon berbilang bangsa, cinta di dalamnya juga menunjukkan keistimewaan rakyat Malaysia. Keistimewaan yang menunjukkan betapa prihatinnya masyarakat kita terhadap kehidupan harmoni. Lupakanlah bangsa sendiri dalam mempertingkatkan harmoni tersebut. Teruskan cinta sebegini. Cinta mengikut ketua kepala. Tidak jauh bezanya penganut agama rekaan "PinDaddy".

    Kenapa aku kata lupa bangsa sendiri? Selama ini ada golongan yang tidak langsung mengikuti filem-filem melayu tetapi dengan adanya sepet dan gubra, lebih ramai keluar menonton dan meluahkan rasa cinta terhadap filem melayu era baru dan cinta kepada pembikin iklan petronas yang amat kreatif. Baguslah sikap begitu. Yang hairannya, golongan yang tidak pernah mengikuti filem-filem melayu ini, boleh pula buat komen tentang kenaikkan taraf filem melayu sedangkan tidak tahu apa-apa mengenai filem melayu sebelum ini. Memang musykil buat aku akan kehadiran golongan ini yang sangat bijak mengeluarkan kata sebegitu. Ia membuatkan aku tertanya pada diri, adakah mereka pentingkan kualiti filem melayu atau lebih cenderung ke arah mendapat balasan komen dari ketua kepala mereka? Kalau begitu tidak hairan lagi kerana memang lebih seronok tidak bertepuk sebelah tangan dalam
    percintaan.

    Aku berbicara dari pandangan diri aku sendiri maka dengan itu aku tidak menghina mana-mana pihak. Aku juga tidak berniat bersuara lantang dalam coretan blog ini tetapi aku cuma menduga perkara-perkara ghaib buat aku yang berkaitan isu cinta. Tidak semestinya orang yang sinikal itu anti segala benda kecuali dirinya dan tidak semestinya juga orang yang mencintai itu, buta pandangannya
    separuh masa.

    Aku penggemar filem apa bangsa sekalipun. Tapi tidak semua jenis filem. Aku tak minat filem seram sebab aku tidak faham kenapa perlu nak susah tidur. Sudahlah tugas seharian memakan banyak tenaga, nak kurangkan tidur buat apa, betul tak? Tapi kalau dah terperangkap untuk menonton filem seram bersama orang yang dicintai, tengok saja lah. Pejam mata dan tutup telinga, yang penting aku ada di sebelahnya.

    Minat aku terhadap filem lahir sejak kecil lagi. Kalau dah minat sangat kepada sesuatu filem, aku boleh ulang tiga kali sehari pun. Tetapi kalau tak menepati citarasa aku, aku tidak menghentam dan
    terus sahaja menyambung hidup seperti biasa. Tetapi kenapa pula dalam permulaan blog ini sahaja aku begitu mudah bersikap sinikal terhadap filem gubra?


    Aku tidak perlu jelaskan mengapa kepada sesiapa pun tetapi ingatlah jika boleh, tidak semua orang yang mengamalkan hidup berlainan sesuatu yang normal itu dengan memastikan segalanya berlaku
    mengikut perubahan pendiriannya. Ada baiknya yang normal itu dikekalkan dan dihormati. Biar betapa jauhnya aku membiarkan diri aku sesat seperti kata mereka yang normal asalkan aku masih berpegang kepada apa yang penting dari pandangan aku. Cinta adalah sesuatu yang suci maka janganlah jadikan ia sama seperti pil khayal, alkohol, dadah dan fesyen pakaian hip hop. Ia nyata jika kita mahu melihatnya.

    ~cinta~


    hasil coretan dijonaizze jones 2:55 PM 0 komen rujukan laman kepada coretan ini

    28 April, 2006

    Hanya Perasaan Gubra

    Belum pun aku mula mengarang di blog ini, sudah ada yang memberi pendapat mereka tentang cinta. Aku amat terharu dengan keikhlasan mereka yang memberi pendapat. Tidak ramai kenalan aku yang tahu tentang blog ini. Insyaallah pada masa yang akan datang lebih ramai akan terbuka kepada topik cinta. Kenapa itu menjadi harapan aku?

    Tidak dinafikan yang ramai di kalangan masyarakat kita sangat jiwang. Mana tidaknya, dengar saja pada lagu-lagu, filem-filem dan novel-novel. Ataupun, pergi saja ke perkarangan KLCC di mana terletaknya air pancut dan kolam, malahan di mana-mana yang ada tema air, pasti ada pasangan yang tidak segan bercumbuan. Aku tidak mengeji mereka dengan tindakan sedemikian, sebaliknya aku menggalak cinta di antara manusia tidak kira jantinanya.

    Tetapi harus ada batasan dalam aksi percintaan. Bercumbuan sekadar berpegang tangan dan duduk rapat sambil berbisik kata-kata cinta pada pasangan adalah perkara semulajadi bagi orang yang bercinta. Berpelukan dan berciuman pula hanya sesuai bagi orang-orang yang dianggap 'cool' dan kelihatan segak yang juga reti berbahasa Inggeris. Jangan sekali orang melayu kebiasaan mencubanya. Sudah pasti dikutuk, dihina dan ditangkap khalwat. Itu adalah lumrah status sosial di Malaysia.

    Begitu juga dengan filem. Jika pengarah dan pengilham ceritanya sudah bertukar jantina dan diiktiraf sebagai wanita oleh kerajaan, maka sesuailah baginya menceritakan tentang cinta dari sudut imaginasinya. Tiada salahnya kreativiti seseorang dimanipulasikan untuk memupuk budaya pemikiran oleh masyarakat yang menonton dan juga hanya mendengar ulasan pengkritik filem dan kawan-kawan. Definisi cinta dalam Islam juga boleh diolah mengikut sesuka hati pengarah yang berkaliber dan pandai membuat iklan tv. Aku amat berbesar hati dengan niatnya yang ingin memupuk rasa cinta pada manusia yang kian hari, kian pudar. Tidak kiralah apa cara sekalipun, cinta harus ditegakkan macam dalam filem-filem Bollywood. Kerana cinta, yang mati boleh hidup balik. Hidup cinta!

    Apa yang menarik perhatian aku kelmarin adalah sebuah kenyataan yang dibuat seorang kenalan rapat aku. Katanya, "bukankah kita sudah tahu yang cinta bukan hanya antara manusia dan ia merupakan satu perasaan yang tidak dapat didefinisikan?" (ditranslasi)

    Memang itu lah yang setahunya aku ini. Cinta amat besar maksudnya dan tiada kata yang dapat diluahkan untuk menerangkan perasaan sebegitu. Perumpamaan selalu disalahtafsir sebagai definisi. Lihat dalam intepretasi oleh pengarah ketidaktentuan jantina yang sangat berkualiti itu dalam filem terbarunya, cinta diibaratkan sahaja sebagai ketenangan pada jiwa beberapa karakternya. Diibaratkan tidak bermaksud cinta sebenar tetapi perumpamaan yang sesuai untuk plot tersebut. Memang indah konsep cinta yang ditampilkan tetapi aku kesal dengan sikap keterlaluan yang tidak menghormati budaya bangsa yang lebih kukuh dengan kehadiran Islam sebagai agamanya. Ia bagaikan satu kesesatan dalam diri si pengilham cerita yang cuba mencari jalan keluar melalui filem. Atau mungkin sekadar membuktikan kemodenan pemikiran kaum elitis yang dinobatkan oleh diri mereka sendiri.

    Apapun aku tetap menilai konsep-konsep cinta yang ditampilkan walaupun aksinya kurang menyenangkan. Sudah pasti penilaian gred A aku berikan kepada kepelbagaian cinta yang jelas. Ini merupakan karya tidak ketentuan arah pada aksi tetapi tinggi pada aspek nilai cinta yang seharusnya wujud. Cinta adalah perasaan yang kita tahu wujud dalam diri dan bagaimana kita melaluinya adalah hak peribadi masing-masing. Itulah keindahannya. Jangan pula disalahtafsir dan menjadi stereotaip. Inilah konsep blog aku iaitu keindahan cinta yang berperibadi.

    ~pecinta~

    hasil coretan dijonaizze jones 11:14 AM 0 komen rujukan laman kepada coretan ini

    27 April, 2006

    Si Pencinta Ini

    Pengenalan

    Ini bukan blog pertama yang pernah aku terbitkan secara percuma melalui blogger. Sudah terlalu banyak terbitan percuma atas talian yang aku karang demi memuaskan nafsu penulisan dalam diri aku. Aku tidak pernah pentingkan komen dan pembaca. Aku pentingkan percintaan. Aku bercinta dengan idea di kepala. Aku bercinta dengan abjad-abjad yang timbul di muka skrin ketika aku menaip. Aku tidak gemar menyunting sebab itu bagaikan penyoal keperibadian aku sebagai penulis. Biar salah eja, biar salah bahasa tapi tidak menduakan cinta.

    Ramai penulis berkelulusan penulisan and kewartawanan mungkin tidak setuju dengan sikap penulisan aku yang tidak berhias kecantikan penggunaan bahasa yang sempurna. Tetapi aku tidak hairan. Aku bukan penulis professional dan aku juga tidak berniat mempersendakan bahasa. Aku cuma ingin ikhlas sepanjang aku menulis. Suntingan hanya akan menduakan cerita yang konsepnya sudah terbentang luas di kepala. Kali pertamanya abjad-abjad bergabung, maka bersatulah mereka buat selamanya. Melainkan aku padam karangan itu sendiri atas sebab yang tak perlu aku jelaskan.

    Tujuan aku kali ini, tidak jauh beza dengan tujuan aku sebelum ini. Nafsu penulisan tidak pudar maka ini lubang yang semakin besar untuk biarkan aku keluar. Sepertimana yang tercatat pada tajuk muka ini, konsep kali ini berteraskan cinta. Cinta tiada makna, jadi jangan cuba mentafsir pula. Cinta ada rasa dan cinta boleh dicerita. Cinta apa? Cinta aku, kamu dan dia.

    Aku tidak ada motif politikal, perkauman, keagamaan dan jauh sekali kebencian. Ini sekadar cinta yang sudah lama berkobar di dalam jiwa. Topik ini memang tersemat dalam jiwa aku. Aku mungkin tidak tampak sebagai seorang yang romantis tetapi bila aku mencintai dengan sepenuh hati, memang tak ada apa yang boleh aku nafikan lagi. Cuma ingat, tak semua cinta perlu ada si lelaki dan si perempuan. Adakalanya, cinta tidak perlu nyawa kedua.

    ~cinta~

    hasil coretan dijonaizze jones 11:41 AM 1 komen rujukan laman kepada coretan ini